Malaysia ulangi tidak akan jalin hubungan dengan Israel - Utusan Malaysia

Malaysia ulangi tidak akan jalin hubungan dengan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian rasmi negara yang tidak akan sesekali menjalinkan lhubungan diplomatik dengan rejim Israel.

Jaminan tersebut disuarakan sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam perutusan khas beliau bersempena memperingati ulang tahun ke-74 Hari Nakbah semalam.

“Malaysia akan terus menzahirkan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada saudara kita di Palestin, malah tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel,” tegasnya.

Nakbah dalam bahasa Arab yang bermaksud mala petaka, merujuk kepada hari peringatan pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan desa di Palestin pada 15 Mei 1948 lalu.

Keganasan tersebut berlaku sehari selepas berakhirnya mandat pentadbiran penjajah Britain di Palestin yang diikuti dengan pengisytiharan secara sehala penubuhan negara haram Israel.

Pada tarikh malang berkenaan, lebih 700,000 penduduk Palestin diusir keluar secara paksa dan menjadi pelarian sebelum tanah mereka dijadikan penempatan pendatang haram Yahudi.

Hari Nakbah mula diraikan pada 1998 lalu oleh pemimpin Palestin, Allahyarham Yasser Arafat sempena 50 tahun peristiwa itu dengan perarakan sejuta penduduk di Tebing Barat dan Gaza.

Mengulas lebih lanjut, Saifuddin berkata Malaysia juga tidak akan jemu menyeru agar penamatan segera kepada pemindahan paksa rakyat Palestin oleh Israel yang masih wujud.

“Ia terus berlarutan dan komuniti antarabangsa sewajarnya harus bersatu untuk menamatkan dengan secepat mungkin rejim apartheid Israel,” jelas beliau lagi dalam kenyataan tersebut.

Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, beliau dipercayai merujuk tindakan pihak Zionis memperluaskan penempatan haram komuniti Yahudi di kawasan dirampas daripada Palestin.

Sementara isu, jalinan diplomatik itu pula dipercayai merujuk laporan media Israel sebelum ini kononnya Malaysia mahu menormalisasi hubungan dengan rejim Tel Aviv dalam masa terdekat.

Perkembangan itu, susulan Perjanjian Ibrahim atau Abraham Accord diusahakan oleh Amerika Syarikat yang menyaksikan Emiriah Arab Bersatu memeterai perjanjian damai pada 2020 lalu.

Ini diikuti oleh Bahrain, Sudan dan Maghribi, manakala Turki, Mesir dan Jordan pula sudah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel lebih puluhan tahun lalu atas pelbagai faktor.

Situasi itu menjadikan kini cuma tinggal 25 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) enggan memperakui Israel selain negara bukan Islam iaitu Cuba, Korea Utara dan Venezuela.

Warga Malaysia bagaimanapun dibenarkan memasuki Israel bagi tujuan ziarah keagamaan terutama kawasan suci penganut Islam dan Kristian di Palestin dengan kebenaran khas kerajaan. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya