Malaysia sokong Palestin bukan sekadar agama, tetapi isu kemanusiaan - PM - Utusan Malaysia

Malaysia sokong Palestin bukan sekadar agama, tetapi isu kemanusiaan – PM

JAMIL Khir Baharom berucap pada Program Sidang Kemuncak Ulama 2022 di Movenpick Hotel & Convention KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Malaysia akan terus memperjuangkan isu Palestin di setiap pentas antarabangsa bukan sekadar atas faktor agama atau bangsa para penduduknya di situ.

Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, permasalahan di Palestin lebih kepada isu kemanusiaan sejagat khususnya nilai-nilai keadilan untuk mereka.

“Kami berada di sini bukan sebab kami bersekutu dengan rakyat Palestin atas faktor agama atau bangsa, namun kerana kami percaya kepada keadilan untuk semua manusia di dunia.

“Dan rakyat Palestin adalah sebahagian daripada masyarakat dunia seperti juga kita semua,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Ulama 2022 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Khas (Hal Ehwal Agama) Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom yang juga penasihat kehormat induk program.

Persidangan tiga hari itu dihadiri 150 ulama dari lebih 90 negara serta dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan tema Perpaduan Asas Pembebasan Al-Aqsa yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sidang, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali dan Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hasan serta Presiden Global Coalition Palestin, Dr. Hammam Said.

Empat sesi diadakan termasuk sesi Menteri Hal Ehwal Agama dan Wakaf Palestin, Sheikh Hatem al-Bakri serta Setiausaha Agung Kesatuan Ualam Sedunia, Dr. Ali Al-Quradaghi. 

Ia merupakan persidangan kedua selepas kejayaan penganjuran Sidang Meja Bulat MyAqsa di Putrajaya pada 2018 yang turut disokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, solidariti Malaysia ke atas warga Palestin tanpa mengira latar belakang penduduknya disebabkan mereka juga ada hak kebebasan tersendiri.

“Kita berhutang kepada rakyat Palestin bagi dikembalikan hak dan maruah mereka kerana tiada sesiapa pun layak diburu dari rumah berkali-kali sebagaimana berlaku di sana,” tegasnya.

Beliau merujuk insiden tragik pembunuhan kejam wartawan wanita AlJazeera yang beragama Kristian, Shireen Abu Akleh, ditembak otentera rejim Zionis di Tebing Barat baru-baru ini.

Justeru, ujarnya, komuniti dunia yang masih ada nurani bersalah atas layanan buruk oleh Nazi terhadap etnik Yahudi ketika Perang Dunia Kedua lalu, semestinya memiliki perasaan sama.

Apatah lagi tambah beliau, masalah Palestin dan Al-Aqsa sudah terlalu lama dibiarkan terabai padahal dunia perlu mendekati isu itu dengan komitmen lebih tinggi dalam rangka perpaduan.

Bahkan, isu itu yang telah 74 tahun berlarutan, lantang dibawa beliau pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden pada 13 Mei lepas.

“Malaysia juga satu-satunya negara membangkitkan isu ini secara jelas. Kekejaman perlu dihentikan dan kita memandang serius kezaliman Israel terhadap warga Palestin,” katanya.

Ismail Sabri berharap persidangan kali ini membuahkan hasil untuk ummah dan semua negara Islam dan mendoakan agar Allah memberikan kekuatan demi menegakkan keadilan.

Pada masa sama, Malaysia tegasnya, akan terus memainkan peranan tanpa rasa takut atau pilih kasih serta menyokong usaha perpaduan Islam ke arah misi pembebasan Al-Aqsa.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya