PETALING JAYA: Negara dijangka mengalami cuaca panas dan kekurangan hujan di beberapa buah tempat bermula Sabtu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei dan akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.
Katanya, semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil yang boleh menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh itu.
“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain.
“Keadaan ini menyebabkan taburan hujan yang rendah. Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.
“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Muhammad Helmi, fenomena jerebu juga diramal boleh berlaku dalam tempoh monsun barat daya sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober.
Justeru, katanya, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini. Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE