KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang terbabit kemalangan mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini tengah malam tadi, direman empat hari
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 28 tahun itu direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini sehingga Ahad depan untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati, suspek berasal dari Jitra itu mempunyai 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan saman membabitkan kesalahan pandu laju.
Bagaimanapun katanya, kesemua saman yang direkodkan sejak tahun 2008 hingga 2022 itu telah pun dijelaskan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga negatif mengambil dadah,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Mangsa terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera.
Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing. – UTUSAN