KUALA LANGAT: Kehilangan seorang lelaki yang terjun ke dalam Sungai Langat di Jambatan Banting di sini, semalam terungkai apabila mayatnya ditemukan hari ini.
Mangsa berusia 20 tahun itu ditemukan terapung di sekitar sungai tersebut pada pukul 1.14 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat berkenaan dijalankan pihaknya dengan menggunakan dua buah bot.
“Mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasinya terjun.
“Lelaki berkenaan dipercayai terjun dari Jambatan Banting sebelum dilaporkan hilang,” katanya hari ini.
Semalam, seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri lemas selepas nekad terjun ke dalam sungai berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa berusia 20 tahun turut meninggalkan kereta Toyota Camry dipercayai dipandunya di sekitar lokasi berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan sejak pukul 9 pagi sebelum dihentikan sementara 6 petang semalam.
Tambah Norazam, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. –UTUSAN ONLINE