Kerajaan lulus bayaran Elaun Kemahiran Khas bomba - Utusan Malaysia

Kerajaan lulus bayaran Elaun Kemahiran Khas bomba

ISMAIL SABRI YAAKOB ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 (SHAB 2022) dan pelancaran Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN 2021-2030) di pekarangan Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kerajaan tmeluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM). 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelulusan itu melibatkan bayaran bayaran Insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) iaitu pada kadar RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan) dan bayaran Insentif Penyelamat Di Air melibatkan kadar RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan).

Turut diluluskan kata beliau, bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) melibatkan kadar secara pro rata (maksimum RM150 sebulan) serta bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu melibatkan kadar secara pro rata (maksimum RM150 sebulan). 

Jelasnya, kelulusan elaun itu akan memberi manfaat kepada 114 pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar terlibat.

“Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.

Beliau berucap bagi merasmikan majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 (SHAB 2022) dan pelancaran Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN 2021-2030) di pekarangan Dewan Millenium, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. 

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut di seluruh negara pada 4 Mei setiap tahun dan sambutan peringkat kebangsaan tahun bertemakan ‘Bomba Frontliners Keluarga Malaysia’.

Menyentuh mengenai DKPN 2021-2030, Ismail Sabri berkata, beliau yakin dasar itu dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.  

Jelas beliau, dasar itu melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.

Ia ujarnya, amat penting kerana mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.  

Tambahnya, pemantapan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur. 

“Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya JBPM akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya