PADANG BESAR : Kampung Balik Bukit yang dikelilingi sawah padi menghijau dan berlatar belakangkan Bukit Chuping di sini menyajikan pemandangan cukup memukau.
Terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Kangar serta tiga kilometer dari Bukit Keteri di sini, perkampungan tersebut menjadi lokasi menarik bagi sesiapa yang ingin menikmati ketenangan.
Malah, ramai yang mengambil kesempatan mengunjungi kawasan berkenaan khususnya untuk bergambar atau bersantai sambil menikmati keindahan di situ.
Seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Maizatul Yasmin Nazira Yaziz,21, berkata, dia bersama rakan-rakan meluangkan masa sempena cuti hujung minggu mengunjungi kampung tersebut.
Kata yang berasal dari Kuantan, Pahang, sawah padi yang menghijau dan keindahan bukit di kawasan berkenaan menjadi lokasi sesuai untuk mereka bergambar kenangan dan menikmati keindahan alam semula jadi di situ.
“Kami juga mengambil kesempatan berkelah dan menikmati makanan yang dibawa di kawasan sawah di situ. Cuti hujung minggu sambil menikmati keindahan alam semula jadi sangat-sangat menyeronokkan,” kata pelajar Diploma Kimia Perindustrian itu.
Rakannya, Marzirah Marzuki,21, pula berkata, Perlis mempunyai banyak lokasi menarik yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi.
Katanya, dia dan rakan-rakan memilih untuk mengunjungi kampung tersebut yang mempunyai pemandangan cukup memukau.
“Panorama berlatar belakangkan Bukit Chuping sangat unik dan kombinasi sawah padi dengan bukit berkenaan menjadikan gambar yang dirakam sangat cantik.
“Malah, saya melihat kawasan perkampungan tersebut juga sangat sesuai dijadikan sebagai salah satu lagi lokasi tarikan pelancongan baharu di negeri ini. Selain bergambar, orang ramai juga boleh menikmati keindahan di sini,” katanya.-UTUSAN ONLINE
–