MELAKA: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab berterima kasih kepada dua pasukan profesional, Terengganu Polygon Cycling (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) yang banyak berjasa kepada Malaysia selepas melihat Nur Aiman Zariff memahat kemenangan dalam acara lebuh raya Sukan SEA 2021 kelmarin.
Beliau juga menyifatkan jurulatih legenda, Datuk Ng Joo Ngan antara watak penting kejayaan Nur Aiman kerana menyatukan TSG dan TSC.
Malaysia merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi acara kriterium yang dihadiahkan pemecut bertaraf antarabangsa, Mohd. Harrif Salleh.
“Untuk menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki ini, saya kecapi pelbagai kisah suka duka. Paling menyedihkan ialah ketika Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw (Myanmar).
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada TSG dan Sapura (TSC). Kedua-dua kelab ini telah banyak berjasa kepada Malaysia. PKBM terhutang budi kepada TSG dan Sapura. Terima kasih
“Ternyata Datuk Joo Ngan boleh menyatu pasukan pasukan profesional terkemuka Malaysia (TSG dan Sapura Cycling Team). Saya harap Datuk Joo Ngan sudi tabur bakti untuk Sukan Sea 2023 di Laos nanti,” kata Abu Samah.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) gembira kerana percaturan memanggil semua ketua jurulatih berbasikal lebuh raya, Joo Ngan menghasilkan keputusan amat memberangsangkan.
Nur Aiman, pelumba kelab benua, TSG memperagakan kayuhan mantap dalam perlumbaan sejauh 162.25 kilometer di wilayah Hoa Binh dengan mengetepikan rakan sepasukannya dari Indonesia, Aiman Cahyadi sekali gus menyumbangkan pingat emas ke-37 negara.
Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berusia 25 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam, 48 minit, 22 saat sambil menyaksikan pelumba Thailand, Navuti Liphongyu sekadar menduduki tempat ketiga.
“Saya gembira dapat menghadiahkan pingat emas kepada kem Malaysia. Ini bermakna saya berjaya menebus kekecewaan acara kriterium. Malaysia sepatutnya menang acara kriterium tapi kita tiada tuah,” katanya Nur Aiman.
Seorang lagi pelumba negara, Akmal Hakim Zakaria mencatat masa 3:51:17s untuk berada di tempat keenam, manakala tiga lagi pelumba kebangsaan, Nur Amirull Fakhruddin Marzuki ke-31, Muhammad Zawawi Azman (ke-32) dan Muhammad Nur Aiman Rosli ke-33.
Ketiga-tiga pelumba berkenaan mencatat masa 4:04:48s. – UTUSAN