ALOR SETAR: Syarikat JBM Success Sdn. Bhd. meneruskan tradisi setiap tahun mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai dalam menyemarakkan Ramadan.
Pengarahnya, Junaidi Che Omar berkata, program juga bertujuan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mereka.
Semalam, JBM Success dengan kerjasama Kelab Motosikal BMW Motorrad Utara mengagih 600 pek bubur lambuk di Jalan Langgar dekat sini.
Menurut Junaidi, program juga bertujuan mengeratkan ukhuwah kelab motosikal berkenaan yang mempunyai lebih 100 ahli.
“Saya sebenarnya ingin meneruskan tradisi bapa saya, Omar Saad, 69, yang suka mengagihkan bubur lambuk setiap Ramadan. Pada masa yang sama, ini peluang untuk mengeratkan semula silaturahim ahli kelab agak ‘renggang’ sejak pandemik.
“Alhamdulillah, program ini sangat mengujakan kami semua yang hadir untuk mengagih sendiri bubur lambuk ini secara pandu lalu di jalan ini apatah lagi 600 pek habis dalam tempoh 30 minit sahaja,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini.
Menurut Junaidi, beliau juga terharu dengan penglibatan ahli kelab yang turut bersedekah untuk menjayakan agihan bubur lambuk.
“Ini juga infaq daripada ahli yang terlibat yang diharapkan dapat memberi pahala berganda pada penyumbang sempena Ramadan,” katanya.
Katanya, sebagai ahli kelab tersebut usaha itu diharapkan menjadi pencetus kepada banyak lagi program amal dan khidmat masyarakat kepada mereka yang memerlukan.
“Sepanjang pandemik, kelab tidak dapat mengadakan banyak aktiviti tetapi selepas ini kita akan menganjurkan lebih banyak program amal seperti ini untuk membantu masyarakat dan pada masa sama dapat mengeratkan semula silaturahim kalangan ahli,” katanya.
Dalam pada itu Presiden kelab, Mohd. Azam Hasan berkata, pihaknya teruja kerana setelah lebih dua tahun menyepi, ahli berpeluang menyertai lebih banyak program amal. – UTUSAN