Isu buruh asing meragukan, dikawal? - Utusan Malaysia

Isu buruh asing meragukan, dikawal?

Abdullah Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu membabitkan kemasukan buruh asing termasuk di tanah rancangan Felda yang tertangguh sejak sekian lama menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan seolah-olah ia ‘dikawal’ oleh pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Masalah itu sudah menjadi isu lapuk dan seolah-olah tidak dipandang serius oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, rundingan demi rundingan dan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan negara sumber telah dibuat tetapi hasilnya belum ada malah sudah berlanjutan agak lama.

“Amat memalukan kerajaan Keluarga Malaysia andainya isu buruh asing ini gagal ditangani segera.

“Hairan, pelik dan menjadi tanda tanya dalam kalangan pekebun kelapa sawit termasuk agensi pekerjaan swasta bertauliah. Apa yang susah sangat hendak selesaikan kemelut ini (pekerja asing)?,” soalnya di sini semalam.

Baru-baru ini, kecurian buah tandan segar (BTS) di tanah rancangan Felda termasuk di Wilayah Jengka di sini semakin membarah dan membimbangkan berikutan kekurangan buruh asing sejak lebih dua tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa peneroka secara sinis berkata, isu kekurangan buruh asing begitu ‘riuh’ diperkatakan di negara ini tetapi natijahnya ‘tang tu juga’ dan masalahnya tidak pernah selesai setakat ini.

Menurut mereka, kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pihak berkaitan industri itu bagaikan ‘tiada lagi bisanya’ walaupun terdapat usaha untuk
mengatasinya tetapi setakat ini masalah di lapangan tidak pernah selesai.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri sawit negara berisiko ketinggalan dengan pesaing yang lain jika urusan pengambilan buruh asing untuk bekerja di sektor komoditi itu terus perlahan dan tidak disegerakan.

Pada masa ini, sektor sawit memerlukan kira-kira 50,000 pekerja bagi menampung kekurangan tenaga kerja dalam komoditi tersebut yang disifatkan kritikal masa ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, tindakan pantas dan bersepadu diperlukan supaya buruh asing segera berada di ladang berikutan isu terbabit telah berlanjutan hampir dua tahun.

“Peneroka Felda bulan sahaja terkesan minda akibat pandemik Covid-19 tetapi juga emosi mereka kekurangan tenaga buruh asing di ladang sawit.

“Walaupun harga BTS pada paras tinggi sekitar RM1,500 satu tan metrik tetapi ada buah sawit membusuk di pokok kerana tiada penuai,” katanya.

Beliau berkata, jika masalah pekerja asing gagal diselesaikan dalam masa terdekat, ia akan menyebabkan industri sawit negara terus berdepan dengan masalah tuai buah yang meruncing. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya