SHAH ALAM: Arahan penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di Selangor susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diumumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan perkara itu semalam.
“Menerusi mesyuarat itu, kita bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Exco Kesihatan bersetuju membuat penyelarasan berkaitan HFMD.
“Semua Pengarah PKD akan mendapatkan laporan kes di lokaliti masing-masing dan arahan penutupan dibuat mereka nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas dan lebih 2,000 tetamu undangan.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes HFMD meningkat 15 kali ganda dengan 31,661 kes dilaporkan setakat Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 8,864 kes diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya masing- masing 4,421 kes, Sabah (2,650), Perak (2,638) dan Kelantan (2,493).
Jelas Amirudin, jangkitan penyakit itu masih terkawal dan tiada sebarang penutupan dibuat setakat ini.
“Keadaan belum kritikal dan semua PKD akan meneliti laporan kes di semua taska atau tadika terlibat. Jika mencatatkan kes yang tinggi, arahan lanjut akan dikeluarkan kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha jitu PKNS yang berjaya kembali mencatatkan pertumbuhan positif kewangan biarpun diuji pandemik Covid-19.
“PKNS mengalami kemerosotan teruk akaun pada 2020, namun, kembali mencatatkan keuntungan sehingga RM30 juta tahun lalu.
“Tahun ini, jumlah itu meningkat sehingga lebih RM200 juta dan ia hasil keberkesanan pelan jangka pendek serta panjang yang dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE