Hapuskan 'tradisi' buli di sekolah - Utusan Malaysia

Hapuskan ‘tradisi’ buli di sekolah

AHMAD Fauzi Md Sood (kanan) dan Noor Azmi (tengah) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan yang dialami anak mereka yang didakwa dibuli pelajar senior di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Labu, Nilai Seremban dalam sidang akhbar hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli dan cedera di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Labu di sini meminta pihak Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan secara telus dan menghapuskan amalan buli di sekolah itu yang sudah menjadi ‘tradisi’. 

Seorang bapa, Ahmad Fauzi Md. Sood, 50, berkata, beliau berasa kesal apabila pihak pengurusan sekolah terbabit seolah-olah tidak mengambil berat kejadian yang berlaku sehingga ibu bapa terpaksa merujuk kepada pihak kementerian.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas menerima panggilan daripada anak petang Sabtu lalu, tetapi seperti ada sekatan anak tidak berani beritahu perkara sebenar.

“Kemudian, anak memaklumkan bahawa dia telah dilibas dengan batang besi dan batang penyapu oleh pelajar senior tingkatan empat sehingga mengalami kecederaan fizikal di kedua-dua belah kaki,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Labu di sini hari ini.

Jelas beliau, sehingga kini, tiada tindakan lanjut daripada pihak sekolah, malah, perjumpaan dengan ibu bapa pelajar terlibat dibatalkan dengan alasan siasatan polis telah dijalankan.

“Kami bukan mahu membelakangkan pihak sekolah, tetapi, mahu pihak kementerian mengambil tindakan drastik supaya amalan buli yang didakwa menjadi ‘tradisi’ di sekolah ini dihapuskan demi kepentingan pelajar,” katanya.

Menurut Ahmad Fauzi, pihak sekolah seolah-olah ‘membenarkan’ perbuatan pelajar senior itu tanpa pemantauan daripada warden atau orang dewasa.

“Menurut anak, lebih kurang 75 pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli telah dikumpulkan dalam keadaan gelap di surau dan asrama, dalam keadaan gelap mereka telah dipukul dengan senjata oleh pelajar senior tingkatan empat.

“Saya bersyukur kecederaan anak tidak melibatkan bahagian mata atau kepala walaupun ada pelajar lain yang mengalami pendarahan akibat dipukul,” katanya yang memberitahu anaknya telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Tambah beliau, sehingga kini tujuh laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat oleh ibu bapa mangsa.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Noor Azmi Mohd Nor, 44, berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci supaya kejadian buli tidak berulang.

“Anak saya mengalami sesak nafas dan lebam dia kedua-dua betis akibat dipukul dengan senjata oleh pelajar senior selain ditendang di badan.

“Saya hantar anak ke sekolah supaya dia dapat belajar dengan tenang, tetapi sekarang dia trauma dan tidak boleh fokus dengan pembelajaran sedangkan esok ada peperiksaan untuk pelajar tingkatan dua,” katanya.

Noor Azmi berkata, difahamkan kejadian tersebut berlaku lebih kurang 11 malam Jumaat lalu sebagai satu bentuk orientasi pelajar senior kepada pelajar tingkatan dua memandangkan sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga kecewa pihak sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak menangani kes ini dan ibu bapa tidak dimaklumkan segera,” katanya.

Sementara itu, pihak polis memaklumkan telah menerima tiga laporan polis Sabtu lalu berhubung kejadian pelajar tingkatan dua cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dibuli pelajar senior di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh di Nilai di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, siasatan awal telah mengenal pasti dua pelajar senior yang dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian yg dilaporkan.

Beliau berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya