PUTRAJAYA: Kerajaan komited melaksanakan usaha-usaha bagi memastikan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan wanita mencapai potensi mereka sepenuhnya tanpa diskriminasi.
Sepanjang tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengarus perdanakan gender melalui pendekatan bersepadu dengan memastikan sumbangan secara kolaboratif daripada masyarakat sivil dan orang awam.
“(Sumbangan secara kolaboratif ini dilaksanakan) dalam penyediaan, pelaksanaan dan pemantauan semua dasar dan program kerajaan,” kata kenyataan KPWKM hari ini.
Kenyataan itu menambah, Malaysia telah mengemukakan Laporan Berkala Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Keenam kepada Jawatankuasa CEDAW, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 April lalu.
Menurutnya, laporan tersebut merangkumi kemajuan Malaysia selama lima tahun bermula 2017 hingga 2021 beserta maklumat terkini berkaitan dasar, inisiatif dan langkah konkrit yang diambil ke arah menghapuskan diskriminasi terhadap wanita.
Jelasnya, KPWKM menyediakan laporan tersebut dengan konsultasi bersama pelbagai pemegang taruh iaitu kementerian, agensi kerajaan dan masyarakat sivil bagi memastikan laporan tersebut menjawab saranan Jawatankuasa CEDAW.
Tambahnya, pencapaian Malaysia dapat dilihat dari segi penambahbaikan dasar-dasar negara selaras dengan peruntukan konvensyen meskipun negara mendepani pelbagai cabaran antaranya untuk kembali pulih daripada pandemik global pada tahun 2020 dan 2021.
Kenyataan tersebut menyebut, ini termasuk langkah-langkah mencegah keganasan terhadap wanita, memperbaiki status wanita dan memberi sokongan kepada wanita semasa pandemik Covid-19.
“Laporan ini adalah bukti komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan peruntukan di bawah CEDAW di samping memenuhi hak wanita berasaskan Perlembagaan Persekutuan, perundangan dan dasar negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE