HULU TERENGGANU: Kegembiraan melihat kepulangan lima anaknya di perantauan sempena Hari Raya Aidilfitri mendorong seorang ibu dari Kampung Pela di sini mengagihkan 13 kilogram pulut kuning kepada orang ramai, semalam.
Latifah Abd. Rahman, 57, berkata, juadah istimewa itu diberikan kepada pengguna jalan raya di laluan Ajil-Jerangau sebagai tanda syukur dapat berkumpul bersama seluruh ahli keluarganya selepas dua tahun.
Katanya, seramai enam anaknya menetap di luar Terengganu, namun, seorang daripadanya beraya di rumah mentua di Muar, Johor manakala dua lagi tinggal di Marang di sini.
“Anak keempat yang bertugas sebagai jurutera di Pulau Pinang sudah seminggu balik ke kampung manakala anak kelima dari Selangor selamat tiba, semalam.
“Esok, tiga lagi anak yang masing-masing berusia 25,27 dan 38 tahun dari Selangor dan Putrajaya dijadualkan balik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Latifah, dia dan suami, Risman Samaun, 67, sentiasa berdoa dapat beraya bersama anak-anak dan cucu pada Aidilfitri kali ini memandangkan sudah dua tahun mereka bermaafan melalui panggilan video.
Katanya, pelbagai persiapan dilakukan termasuk membeli langsir baharu di samping turut menyediakan agar-agar kering yang merupakan hidangan kegemaran kesemua anaknya.
“Selain ketupat, lemang dan aneka biskut yang akan memenuhi meja makan, saya juga kembali menyediakan agar-agar kering untuk dinikmati keluarga,” katanya. –UTUSAN ONLINE