MELAKA: Kerajaan negeri disaran membatalkan tujuh projek di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) kerana didakwa berpotensi tinggi menjadi ‘projek gajah putih’.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pandangan itu berasaskan susulan pelan induk untuk M-WEZ yang dibentang baru-baru ini selepas pelancaran projek tersebut pada April 2021, dilihat tidak memberi pulangan maksimum kepada rakyat.
“Antara projek itu ialah Menara Ikonik M-WEZ setinggi 200 meter, pintu gerbang selamat datang dan pembinaan 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta. Selain itu adalah M-WEZ Sky Wheel (roda pemerhati raksasa), chalet atas air, puluhan pejabat dan kondominium mewah dan terusan air ala Venice,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kos pembinaan projek tersebut adalah tidak masuk akal, jauh sekali memanfaatkan rakyat atau menggalakkan pertumbuhan negeri.
“Contohnya cadangan membina 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta adalah tidak masuk akal sama sekali.
“Peruntukan sebegitu besar boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas lain seperti projek tebatan banjir dan agro makanan yang jauh lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN