IPOH: Mayat lelaki warga emas yang meninggal dunia ketika pendakian ke puncak Gunung Yong Belar yang terletak di sempadan Perak-Kelantan kelmarin, dibawa turun menggunakan helikopter bomba hari ini.
Mangsa, Tang Sak Hong, 66, dibawa turun menggunakan helikopter jenis Agusta AW189 yang diterbangkan dari Padang Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, mayat pendaki terbabit diambil pada ketinggian hampir 2,000 meter dari aras laut berhampiran Kem Kuali, Gunung Yong Belar.
Katanya, penerbangan membawa turun mayat mangsa mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sebelum mendarat di Padang Kem PGA pada pukul 1.30 petang.
“Unit Udara JBPM telah dihubungi untuk bantuan bagi membawa mayat mangsa keluar dari lokasi tersebut.
“Sebuah Helikopter diterbangkan pada pukul 9.30 pagi bersama 11 anggota penyelamat dengan terus ke lokasi mangsa berada berdasarkan koordinat yang diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota penyelamat yang diturunkan di kawasan ‘drop point’ perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer (KM) untuk ke lokasi mangsa berada.
Katanya, tindakan menaikkan mangsa menggunakan teknik ‘winching’ segera dijalankan di mana mengambil masa kira-kira 10 minit.
“Mayat mangsa yang tiba di Padang Kem PGA pada pukul 1.30 petang itu diserahkan kepada pasukan polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.
Tambah beliau, operasi disertai empat pegawai kanan JBPM Perak, tujuh anggota Pasukan Multi-Skill Team (MUST), dua orang malim gunung, lima anggota Unit Udara selain pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki warga emas berasal dari Kuala Lumpur meninggal dunia di puncak gunung selepas mengalami keletihan ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 13 individu lain.
Lokasi kejadian terletak kira-kira lapan jam pendakian dari kaki Gunung Korbu, Hulu Kinta di sini.-UTUSAN ONLINE