GOPENG: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan ayam di Perak mencukupi pada masa ini meskipun dilaporkan berlaku kekurangan di beberapa lokasi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jaminan itu diberikan ekoran Perak mempunyai ladang penternakan terbesar di Manjung yang mencukupi untuk keperluan sara diri.
“Sekarang, tiada masalah (bekalan mencukupi) kecuali ada orang yang dengan sengaja menyorokkan bekalan untuk tujuan naik harga.
“Bagaimanapun, setakat semalam di peringkat pembekalan, tiada masalah. Bekalan di Perak mencukupi untuk sara diri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Agrofest Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Treasure Taman Herba Gopeng di sini hari ini.
Menurut beliau, sikap penjual yang menyorok bekalan ayam atau barang keperluan disifatkan sebagai mengkhianati rakyat dan negara.
“Ada kalangan peniaga yang mengambil kesempatan, dia tahu permintaan tinggi, namun, bekalan kurang, jadi, dia naikkan harga dengan menyimpan barang itu sehingga diminta pembeli.
“Oleh itu, mereka akan jual barang itu dengan harga yang diminta pembeli. Ini sangat bahaya, di mana yang ada duit akan dapat bekalan. Saya minta jangan buat begitu, ia ibarat mengkhianati rakyat,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti penanaman jagung, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu kerana Perak mempunyai tanah mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, permohonan itu perlu dilakukan dengan saluran yang betul.
“Maknanya, permohonan itu perlu ikut prosedur biasa supaya ia boleh diurus dengan baik. Jika tidak (ikut prosedur), sewenang-wenangnya, orang akan teroka rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), mungkin ada sebab tertentu kenapa tidak diberi kebenaran.
“Oleh sebab itu, permohonan mesti melalui saluran betul dan kita akan proses. Jika sesuai, kita galak mereka melakukan penanaman makanan di tanah TOL atau di bawah pencawang elektrik atau mana-mana rizab JPS,” katanya.
Kabinet sebelum ini meminta kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam. – UTUSAN ONLINE