Ayam habis dijual dalam masa 2 jam

Ayam habis dijual dalam masa 2 jam

SEAWAL pukul 8 pagi, ayam di Pasar Awam Melaka telah habis dijual memandangkan bekalan yang diterima terhad hanya 200 ekor berbanding 400 ekor sebelum ini. – mingguan/DIYANATUL ATIQAH ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Jualan ayam segar di pasar awam Batu Gajah di sini licin dalam tempoh dua jam sebaik SAHAJA pasar dibuka kerana heboh tiada bekalan.

Ini menyebabkan ada pe­langgan pulang dengan tangan kosong kerana kebanyakan jualan semalam hanya untuk yang membuat tempahan awal.

Seorang peniaga ayam, Muhammad Taufiq Meor Saradi, 25, berkata, ayam segar habis dalam masa dua jam berikutan bekalan tidak mencukupi untuk menampung permintaan pembeli.

“Hari ini jualan habis sebelum pukul 8 pagi kerana bekalan ayam yang kami terima pun sedikit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Menurutnya, pembekal terpaksa mencatu ayam untuk dijual kepada peniaga di pasar ini berikutan bekalan ayam hidup dari ladang tidak mencukupi.

Kata Taufiq, biasanya peniaga menerima bekalan 10 ekor ayam hidup dalam satu bakul tetapi hari ini mereka hanya menerima tujuh ekor ayam satu bakul.

“Biasanya kami mendapat sebanyak 10 bakul atau 100 ekor ayam hidup sehari tetapi hari ini, hanya 70 ekor.

“Saya hanya dapat menjual 19 ekor ayam segar kepada pe­langgan yang datang ke pasar, selebihnya kepada pelanggan yang telah membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, pembekal tidak menghantar ayam mulai hari ini dengan alasan saiz ayam masih kecil berbanding saiz standard.

Peniaga nasi kandar turut terkesan dengan masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam yang mendadak selepas Aidilfitri. – mingguan/NUR NAZLINA NADZARI

Katanya, saiz ayam yang kecil akan cepat susut dan boleh mati jika tidak cukup makan dan ini merugikan peniaga.

“Mulai Ahad hingga Isnin berkemungkinan kami tidak dapat berniaga kerana tiada bekalan ayam.

“Saya harap kerajaan menyelesaikan isu ini kerana kesannya bukan kepada pengguna sahaja tetapi peniaga juga kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Az­wawati Meor, 49, berkata, bekalan ayam hidup yang diterima hanya untuk pelanggan yang membuat tempahan.

“Saya tempah 60 ekor ayam tetapi hanya dapat 40 ekor sahaja, memang tidak cukup untuk jual secara runcit di sini.- UTUSANp

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN