TAMPIN: Tiga buah keluarga yang tinggal berhampiran berhadapan detik cemas selama hampir 10 minit apabila atap rumah mereka diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Geduk, di sini, pukul 3.45 petang tadi.
Noriman Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama isterinya, Kalimah Ahmad, 39, serta dua orang anak berusia 12 hingga 15 tahun dan dikejutkan dengan bunyi angin yang kuat serta hujan lebat.
Menurutnya, ketika kejadian, keadaan sangat mencemaskan apabila atap berterbangan serta banyak pokok yang tumbang.
“Saya pada masa itu hanya memikirkan untuk menyelamatkan anak saya dan anak-anak buah ke kawasan berlindung di luar rumah.
“Bila kejadian reda, saya juga dapat lihat keadaan rumah kakak ipar saya, Rositah Ahmad, 45, yang secara keseluruhan atap rumahnya sudah terbang dibawa ribut,” katanya.
Noriman berkata, dia baru sahaja lima tahun menetap di perkampungan berkenaan dan sepanjang tempoh tersebut belum pernah berlaku lagi kejadian ribut seburuk itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, sehingga pukul 5.30 petang, kejadian berkenaan telah menjejaskan empat buah rumah dan lebih 10 batang pokok tumbang.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Difahamkan, kejadian berkenaan turut menyebabkan kerosakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Geduk. –UTUSAN ONLINE