PETALING JAYA : Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengemukakan soalan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Debat Perdana antara kedua-dua pemimpin itu yang berlangsung esok.
Anwar meminta orang ramai untuk mengemukakan cadangan soalan masing-masing di ruangan komen Facebook miliknya.
“Saya ingin membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengemukakan soalan kepada Datuk Seri Najib Razak. Cadangkan soalan-soalan anda di ruangan komen,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) dipilih sebagai lokasi penganjuran program Debat Perdana antara Najib dan Anwar yang bermula pada pukul 9 malam esok.
Sebelum ini melaporkan kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu Sapura Energy Berhad.
Sebelum ini, Najib merupakan individu terawal yang mencadangkan kerajaan supaya menyelamatkan SEB yang berhadapan dengan krisis kewangan teruk. –UTUSAN ONLINE