MELAKA: Seramai 7,564 pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan diberikan surat saman selepas direkodkan memandu melebihi had laju oleh Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang beroperasi di dua daerah di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohamad Firdaus Shariff berkata, jumlah itu direkodkan hanya dalam tempoh 10 hari musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April sehingga 8 Mei lalu.
Katanya, rakaman itu melalui empat kamera iaitu dua dalam daerah Jasin di Kilometer (KM) 185 (arah selatan) dan KM 184.2 (arah utara), manakala dua lagi dalam daerah Alor Gajah di KM 214.4 (arah selatan) serta KM 214.4 (arah utara).
“Sepanjang 10 hari bermula 29 April lalu, kamera Awas telah merekodkan seramai 7,564 pengguna lebuh raya yang memandu melebihi had laju dibenarkan iaitu 110 kilometer sejam (KM/J).
“Kesemua kenderaan akan menerima surat saman dalam tempoh sebulan selepas kesalahan mereka direkodkan Awas atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES),” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil 1/2022 di JPJ Bukit Katil di sini hari ini.
Ujarnya, saman dikeluarkan mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, angka itu didapati meningkat sebanyak 10 kali ganda berbanding purata kenderaan yang dikesan Awas pada minggu sebelumnya, dengan anggaran kira-kira 3,000 kenderaan.
Jelasnya, mengikut pecahan, sebanyak 2,051 kenderaan telah direkodkan di daerah Jasin, manakala 5,513 kenderaan pula di Alor Gajah.
“Kita dapati rata-rata pemandu memecut laju pada 2 Mei lalu iaitu pada hari pertama Aidilfitri dengan seramai 1,213 pengguna direkodkan.
“Ia diikuti pada 1 Mei dengan sebanyak 903 kenderaan, manakala 890 kenderaan pula direkodkan pada 8 Mei susulan orang ramai mula pulang untuk bekerja selepas habis bercuti,” jelasnya. – UTUSAN