SHAH ALAM: Seramai 1,387 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga dalam operasi kebakaran sepanjang musim panas dan kering yang dijangka berlaku sehingga September ini.
Kesiapsiagaan itu meliputi semua aset logistik seperti jentera, kenderaan utiliti, sistem pam dan sumber air di seluruh negeri ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran yang berlaku ketika cuaca panas kebiasaannya melibatkan hutan, kebun, tapak pelupusan sampah haram dan belukar.
Katanya, pihaknya mengenal pasti lokasi berisiko berlaku kebakaran itu antaranya di Johan Setia, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Ijok dan Bestari Jaya.
“Justeru, JBPM Selangor bersiap sedia sepenuhnya dengan keanggotaan seramai 1,387 orang dalam semua operasi kebakaran.
“Selain semua aset logistik, penyelarasan bersama Pangkalan Udara Bomba di Subang digerakkan bagi memantau lokasi kebakaran menerusi helikopter,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, JBPM mengenal pasti beberapa kawasan titik panas yang berisiko berlaku kebakaran akibat musim panas dan kering di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid memaklumkan pihaknya turut berkolaborasi dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan agensi berkaitan bagi mengkoordinasi pengurusan bencana berskala besar seperti kebakaran hutan dan struktur.
MetMalaysia memaklumkan Monsun Barat Daya bermula Sabtu lalu dijangka berterusan sehingga pertengahan September depan.
Kebanyakan kawasan dijangka mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain selain menghasilkan taburan hujan rendah.
Jelas Norazam, pihaknya turut memastikan semua sumber air dalam keadaan baik terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang mudah terbakar.
“Orang ramai juga diminta tidak melakukan kesalahan yang menyebabkan berlaku pencemaran udara untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.
“Mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE