SEREMBAN: Ketua Cawangan Khas Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Zairul Naim Lomak, 46, dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan berkuat kuasa semalam.
Beliau dilantik memangku tugas berkenaan susulan Timbalan Ketua Negeri Sembilan sebelum ini, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Che Zakaria Othman bersara wajib bermula 1 Mei ini.
Majlis serah terima tugas antara Che Zakaria dan Zairul Naim disaksikan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini semalam
Yang turut hadir, Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Sementara itu, Che Zakaria dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu dan bangga apabila menamatkan perkhidmatan dalam pasukan di Kontinjen Negeri Sembilan kerana beliau juga memulakan tugas sebagai anggota polis juga di negeri ini pada tahun 1982.
“Ini adalah rahmat Allah kepada saya, kerana di Negeri Sembilan ini saya dapat berkhidmat dengan amat baik kepada semua ketua-ketua jabatan terutama Ketua Polis Negeri.
“Keharmonian dalam menjalankan tugas di Kontinjen Negeri Sembilan ini mestilah diteruskan kesinambungannya supaya tugas keselamatan dapat dijalankan dengan baik,” katanya.
Tambah Che Zakaria, sepanjang perkhidmatannya, tugas menjalankan siasatan dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 2013 paling tidak boleh dilupakannya.
“Saya ingin berpesan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia, taat setia kita kepada negara janganlah dijual sama sekali. Jika kita mengkhianati negara, kesan yang perlu dibayar adalah amat tinggi,” katanya. –UTUSAN ONLINE