Tragedi awal Ramadan, empat bot nelayan musnah terbakar - Utusan Malaysia

Tragedi awal Ramadan, empat bot nelayan musnah terbakar

ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman bot terbakar di Jeti Nelayan Sungai Endau dari jambatan Endau di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tindakan pantas orang awam memotong tali sebuah bot nelayan yang terbakar berjaya menyelamatkan lebih 20 buah bot lain yang sedang diparkir di Jeti Nelayan Sungai Endau, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin berkata, bagaimanapun, empat buah bot iaitu masing-masing dua kelas B dan C tidak sempat diselamatkan dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu.

Katanya, seramai 32 anggota dari BBP Endau, Mersing, Kuala Rompin dan pasukan bomba sukarela Endau telah dihantar ke lokasi kejadian.

“Kebakaran disedari orang awam yang melalui jeti tersebut. Menurut saksi, pada awalnya, dia hanya melihat api dari salah sebuah bot yang berada di tengah-tengah bot yang lain.

“Orang awam kemudian bertindak memotong tali bot dan cuba mengalihkan bot yang lain. Ketika itu, keadaan air surut dan bot berkenaan terdampar kira-kira 100 meter dari tebing jambatan Endau dan medan selera di situ.

“Tindakan mereka berjaya mengelak kebakaran lebih besar berlaku kerana difahamkan terdapat lebih 20 buah bot ketika itu kerana ada nelayan yang baru sahaja pulang dari laut selain ada yang hendak keluar ke laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata Mohd. Alias, ketika sampai di lokasi kejadian, api sedang marak dan pihak bomba melakukan pemadaman dari jambatan Endau dan juga medan selera. 

Jelasnya, pihak bomba turut berdepan kesukaran susulan kapasiti minyak diesel dan minyak hitam yang masih terdapat di dalam bot terlibat.

“Sebuah bot kelas B yang tiada muatan minyak diesel musnah 70 peratus dan sebuah lagi bot dari kelas yang sama dan mengandungi 5,000 liter diesel telah musnah 80 peratus.

“Dua lagi bot kelas C yang mengandungi 8,000 liter diesel masing-masing musnah 85 peratus dalam kejadian itu. Selain kandungan minyak berkenaan, kita turut berdepan kesukaran ekoran faktor arus deras dan juga angin kuat ketika operasi dijalankan,” katanya.

Tambahnya, kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi ditamatkan pada pukul 10.42 pagi, namun, punca dan anggaran kerugian masih disiasat.

Sementara itu, salah seorang pemilik bot, Heng Sang Meng, 47, berkata, dia masih belum mengetahui anggaran kerugian kebakaran yang melibatkan bot digunakan untuk mencari hasil laut itu.

“Masa kejadian saya baru balik dari kedai kopi tiba-tiba ada orang beritahu bot saya terbakar dan saya terus ke jeti. Bot itu memang saya gunakan untuk mencari rezeki di laut. Belum pasti berapa kerugian yang ditanggung kerana baru sahaja hendak membuat laporan berkenaan kejadian ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya