Tol 4 lebuh raya kekal, kerajaan struktur semula konsesi - Utusan Malaysia

Tol 4 lebuh raya kekal, kerajaan struktur semula konsesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuat penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

Mengumumkan perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui penstrukturan semula itu, kadar tol tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi serta dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu sehingga tamat tempoh konsesi. 

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci dari semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan perjanjian konsesi serta beban kewangan kerajaan.

Empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion. 

“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

Beliau menjelaskan, penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama  kerajaan iaitu mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan. 

“Perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya