TLDM usir lima bot nelayan asing di Pulau Perak - Utusan Malaysia

TLDM usir lima bot nelayan asing di Pulau Perak

BOT nelayan asing yang berjaya dikesan KD Mahawangsa di perairan Pulau Perak, Kedah sebelum diusir semalam. - IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tindakan pantas Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja (KD) Mahawangsa berjaya menghalang lima bot nelayan asing yang cuba menceroboh perairan negara di perairan Pulau Perak, Kedah sebelum kesemuanya diusir petang semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM di sini memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.5 petang itu, kelima-lima bot nelayan tersebut dipercayai cuba mengaut hasil laut negara.

“Bertindak menerusi maklumat pengesanan yang disalurkan oleh Komander Komponen Maritim (MCC) Barat, KD Mahawangsa yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah bergerak menuju ke posisi pengesanan bagi mengesahkan keberadaan bot itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan lanjut mengesahkan terdapat lima buah bot berada di lokasi dinyatakan dan sedang cuba memasuki perairan negara. 

Kata kenyataan itu, hasil kecekapan dan koordinasi tindakan pantas KD Mahawangsa telah berjaya memintas dan melaksanakan tindakan pengusiran kesemua bot tersebut keluar dari perairan negara.

Terdahulu, pesawat B200T (RMF 380) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mengesan keberadaan lima buah bot dinyatakan di posisi kira-kira 44 batu nautika tenggara Pulau Perak.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat akan memastikan setiap tindakan menceroboh akan sentiasa dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara dan akan bersama agensi maritim lain dalam menguatkuasakan undang-undang negara sepanjang masa,” tegas kenyataan itu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya