KUALA LUMPUR: Tiga cedera selepas terlibat dalam kejadian kebakaran stor simpanan rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Jalan Perhentian di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.22 petang itu, melibatkan kebakaran sebuah stor simpanan rampasan bahan bukti berkeluasan 100 X 50 kaki persegi.
Komander Operasi Kanan, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata, kebakaran itu menyebabkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang turt melibatkan 50 buah kenderaan terjejas.
Kata beliau, anggota bomba membuat pemadaman dengan mengunakan kaedah pemadaman dengan memasuki premis dan pemadaman dari luar bangunan.
“Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada pukul 7.04 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Tiga mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba Sentul, Jalan Tun Razak, Wangsa Maju dikerahkan ke lokasi kejadian.
Terdahulu, kejadian pukul 6.30 petang itu, turut tular di media sosial menunjukkan kepulan asap tinggi disusuli bunyi dentuman kuat. – UTUSAN