Tidak perlu wajibkan pelitup muka

Tidak perlu wajibkan pelitup muka

PELITUP muka tidak lagi perlu diwajibkan kepada orang ramai apabila nilai kadar kebolehjangkitan berada di bawah nilai 1, kata pakar kesihatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkitan kes Covid-19 yang menunjukkan trend menurun dan kadar tinggi liputan imunisasi dalam komuniti wajar dijadikan indikator supaya pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan.

Peralihan negara ke fasa endemik dan nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau RO) Covid-19 adalah di bawah 1 iaitu 0.81 bagi seluruh negara yang bermaksud risiko jangkitan adalah kurang juga menjadikan pemakaian pelitup muka sudah tidak lagi relevan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pema­kaian pelitup muka sepatutnya dilonggarkan termasuk dengan mengambil kira aspek-aspek berkenaan.

“Tidak perlu lagi pakai pelitup muka di tempat awam dan kawasan terbuka seperti pusat beli-belah, pasar dan luar bilik darjah.

“Jika perlu dipakai pun, mungkin di tempat tertutup yang melibatkan ramai orang dan tidak mempunyai sistem pengudaraan baik, khususnya rumah ibadat dan dalam bilik darjah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, ada khabar ­angin mengatakan kerajaan akan melonggarkan SOP pemakaian pelitup muka memandangkan negara kini menuju ke arah fasa peralihan endemik.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sebarang pengumuman terbaharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelitup muka akan diumumkan minggu depan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, kelonggaran pemakaian pelitup muka sewajarnya dilakukan kerajaan memandangkan tahap jangkitan Covid-19 tidak lagi seteruk dahulu.

MENURUN

“Jika tahap jangkitan teruk pun, ia hanya melibatkan kes kategori 1 dan 2. Peratus tahap jangkitan bagi kategori 4 dan 5 juga dilihat menurun.

“Selain itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan pemakaian pelitup muka hanya kepada mereka yang sakit kerana tidak semua rakyat mampu untuk membeli pelitup muka yang banyak bagi kegunaan harian,” jelasnya.

Dalam pada itu, pandangan berbeza diutarakan Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh yang berkata, pemansuhan pemakaian pelitup muka secara terus adalah tidak bagus dan salah.

Katanya, persoalan untuk menentukan kawasan terbuka dan kawasan tertutup mungkin timbul disebabkan masyarakat kini sudah boleh berjalan secara bebas.

“Misalnya, apabila orang ramai melawat KLCC, nak tak nak, mereka terpaksa membawa pelitup muka kerana ia mempunyai bahagian dalam dan luar. Jadi, pihak mana yang hendak memantau dan menjaga disiplin masyarakat dalam keadaan ini?” jelasnya.

Mengulas lanjut isu tersebut, beliau berkata, kerajaan sewajarnya memerhati dua perkara penting sebelum melakukan kelonggaran pemakai­an pelitup muka terutama dalam penurunan kes dan nilai R-naught.

“Kerajaan perlu memastikan penurunan kes Covid-19 ini sentiasa berada dalam tren menurun. Walaupun kini bilangan kes semakin berkurang, namun paling penting adalah melihat penurunan kes bagi kategori 3, 4 dan 5 serta kadar kematian yang berlaku.

“Selain itu, nilai R-naught hendaklah dipastikan stabil sekurang-kurangnya pada fasa peralihan endemik ini dan selepas raya.

“Jika kerajaan melonggarkan arahan seperti tidak memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera terlalu awal, berkemungkinan kes Covid-19 meningkat secara mendadak berikutan tidak dapat dikawal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya