Tempahan pelita buluh meningkat di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Tempahan pelita buluh meningkat di Aidilfitri

HANAFIZA Hasnan menyusun pelita buluh yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Kechor, Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menjelang sambutan Aidilfitri, tidak lengkap rasanya jika suasana malam di halaman rumah tidak diserikan dengan keindahan cahaya pelita buluh.

Namun bagi pengusaha pelita buluh, mereka kini bertungkus-lumus menghasilkan pelita tersebut bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan khususnya ketika Aidilfitri tahun ini sudah boleh disambut seperti biasa.

Bagi pasangan suami isteri, Zainordin Nayan, 33, dan Hanafiza Hasnan, 32, yang menghasilkan pelita buluh atau pelita panjut sejak enam tahun lalu, mereka menjangkakan tempahan semakin meningkat menjelang beberapa hari sebelum raya.

Hanafiza berkata, tempahan pelita buluh tersebut mencapai sehingga 1,500 pada tahun ini.

Katanya, di sebalik berdepan kenaikan harga buluh, namun dia tetap menjual pelita berkenaan dengan harga sama seperti tahun sebelum ini iaitu RM15.

“Untung itu masih ada namun hasil pendapatan sahaja yang sedikit berkurangan tahun ini. Sekurang-kurangnya buluh yang kami dapat sudah siap dipotong jadi dapatlah menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Kechor, Jalan Kaki Bukit di sini, semalam.

Tambah Hanafiza, Aidilfitri tahun ini, ramai yang akan pulang ke kampung halaman menyebabkan mereka teruja menghias rumah dengan keindahan cahaya pelita buluh.

“Pelita kami hasilkan ini diperbuat daripada buluh duri dan ia lebih tahan lama iaitu antara tiga empat tahun jika dijaga dengan baik,” katanya.

Jelas ibu kepada tiga orang anak itu, selain dari negeri ini, dia juga menerima tempahan dari pelanggan seluruh negara.

“Idea membuat pelita buluh ini timbul apabila kami ingin menambah pendapatan khususnya pada bulan Ramadan dan menjangkakan pelita buluh ini sememangnya masih menjadi pilihan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya