KANGAR: Kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini turut menyebabkan tempahan inap desa melonjak bagaikan pisang goreng panas.
Tempahan yang meningkat mendadak itu ditempah dua bulan lebih awal dalam kalangan perantau yang sudah lama tidak pulang beraya di kampung kerana terikat dengan langkah-langkah yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengurus Jejawi Jaya Lodge yang mengusahakan inap desa di Kampung Ujung Bukit, Nurul Atikah Rahmat berkata, dia menerima tempahan sejak Mac lalu dengan minggu pertama Mei kebanyakan kediaman sudah penuh.
Katanya, tempahan membabitkan 16 inap desa yang mampu memuatkan lebih 70 orang ketika ini sudah mencecah 80 peratus.
“Ada pelanggan dari Kuala Lumpur memberitahu mereka ingin pulang beraya dan dalam masa sama memberi peluang kepada ahli keluarga merasai suasana beraya di kampung seperti dahulu dalam keadaan yang selesa di inap desa ini.
“Homestay Kampung Ujung Bukit ini terletak di dalam kampung dan memiliki pemandangan sawah yang menarik selain turut menyediakan aktiviti sukan tradisional dan berbasikal di sekeliling kampung”, katanya.
Seorang pemilik inap desa Mirnaz Roomstay, Khairul Nazmi Khairuddin pula berkata, tempahan di fasiliti pelancongan miliknya itu sudah penuh iaitu seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas raya.
Katanya, inap desa di Kampung Masjid, Padang Pauh di sini mampu menempatkan sehingga 30 orang pada satu-satu masa dengan harga bermula RM150 satu malam.
“Kebanyakkan pelanggan adalah orang negeri ini yang menetap dan bekerja di luar. Mereka pulang berhari raya di kampung dan memilih untuk tidur di inap desa.
“Kebanyakkan mereka mahu lebih keselesaan dengan menginap di inap desa ini. Inap desa yang diusahakan saya ini mempunyai kolam renang dengan sawah padi yang luas terbentang mengelilingi kemudahan pelancongan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang perantau, Rozaimi Husin, 45, berkata, dia mengambil keputusan untuk menyewa di inap desa disebabkan rumah ibu bapanya di kampung agak kecil.
“Kami mempunyai tujuh beradik dan semua telah berkeluarga dan mempunyai anak yang sekurang-kurangnya dua orang setiap keluarga.
“Semua ahli keluarga ingin pulang ke Perlis tahun ini menyebabkan halaman rumah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang banyak selain rumah sudah padat.
“Situasi itu membuatkan saya serta abang yang menetap di Johor membuat keputusan menyewa di inap desa pada raya kali ini. Tidak ada masalah kerana hanya tidur di inap desa dan selebihnya beraya di kampung halaman,” katanya. –UTUSAN ONLINE