Telco diminta tidak gagalkan usaha pembangunan bumiputera DNB - Utusan Malaysia

Telco diminta tidak gagalkan usaha pembangunan bumiputera DNB

TAWARAN tersebut melibatkan pakej telefon pintar 5G pelan data di bawah jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan pembangunan teknologi 5G di Malaysia yang dikendalikan sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, Digital Nasional Bhd. (DNB) sudah mengenal pasti peluang penyertaan syarikat bumiputera dalam projek pembangunan sistem rangkaian 5G.

Penganalisis politik, Azizul Hakim Abd. Aziz berkata, mengikut kenyataan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan pembangunan infrastruktur dan rangkaian ini sepatutnya dimanfaatkan syarikat bumiputera.

Kata beliau, ia jika kedudukan model Rangkaian Keseluruhan Tunggal (SWN) tidak lagi diganggu dengan anasir luar yang tidak menjanjikan peluang untuk usahawan tempatan. 

Menurutnya, lebih 56 syarikat bumiputera tempatan diupayakan untuk pembangunan 5G bermula akhir tahun lalu melalui Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) yang  bukan satu retorik. 

“Pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G dalam empat fasa yang dikemukakan DNB akan memberi manfaat kewangan berterusan sekali gus dikongsi merentas industri bermula sebesar-besar penerimaan spektrum, sehingga sekecil-kecil pembekal peralatan untuk projek kawasan.

“Malah, perkembangan syarikat kontraktor kecil ini juga akan membuka ruang tambahan untuk pekerja  berkemahiran tinggi dan sederhana dari golongan bumiputera dengan sasaran TERAJU memberi manfaat bernilai RM650 bilion mampu dimiliki usahawan bumiputera menjelang 2030 di bawah pembangunan 5G seliaan DNB,” katanya dalam kenyataan semalam.

 Azizul Hakim berkata, Pengerusi TERAJU, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof pada 26 Februari lalu membawa berita gembira bahawa enam syarikat bumiputera menunjukkan keyakinan kepada DNB untuk melancarkan pembangunan 5G.

Jelasnya, keputusan Kabinet pada 16 Mac lalu untuk meneruskan model SWN adalah langkah tepat supaya DNB dapat meneruskan pelancaran rangkaian dan infrastruktur 5G dengan lebih pantas. 

Pada masa sama, katanya, peruntukan pengagihan kontrak dan perkhidmatan berkaitan juga akan dapat diagihkan kepada usahawan dan vendor tempatan termasuk bumiputera.

“Sebelum ini, Telekom Malaysia sebagai gergasi industri yang terlibat dalam pelan pembangunan DNB memberi gambaran awal kepada orang awam bahawa Polisi Untuk Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) akan menjadi teras dalam kejuruteraan sosioekonomi DNB. 

“Pembahagian kontrak bernilai RM2 bilion juga sudah mula diagih kepada vendor dan syarikat pembekal tempatan termasuk Perkhidmatan Kejuruteraan, Pembekalan Gentian, Penyediaan Aksesori dan Peralatan Premis, Pembangunan Menara, serta Pembinaan Saliran Bawah Tanah,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, sejak penghujung Mac, proksi kajian dari syarikat telekomunikasi menyampaikan hasrat telco menolak untuk menerima cadangan dari Kabinet dengan membangkitkan antara isu kononnya kualiti perkhidmatan internet yang akan dikeluarkan 5G adalah tidak memuaskan dan bakal menjejaskan kualiti perkhidmatan telco.

 Jika benar peranan DNB mahu disemak semula disebabkan keengganan Telco bersetuju dengan saranan kerajaan, katanya, ia akan menjejaskan syarikat-syarikat bumiputera.

“Sudikah telco-telco seperti Maxis dan DiGi meletakkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam strategi perniagaan jika benar hak pembangunan 5G itu kelak diambil alih mereka? Adakah Axiata juga sedia menyemak strategi agenda bumiputera jika perkara ini berlaku?

“Jika ya, apakah cara pelaksanaannya? Bagaimana strategi itu nanti boleh bersifat holistik? Harus diingat, agenda pemerkasaan bumiputera sifatnya sangat luas dan menyeluruh. Mampukah telco-telco tersebut menghayati agenda ini?” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, jika benar syarikat-syarikat telco lain mahu sama-sama membangunkan teknologi 5G juga, apa janji mereka untuk pastikan peruntukan besar RM12.5 bilion ini diagih-agih sama rata serta menjadi agen kepada peningkatan kemahiran, kepimpinan, daya saing dan kemakmuran bumiputera.

Jelasnya, pembangunan spektrum 5G yang dilengahkan hanya akan menjejaskan kontraktor bumiputera apabila syarikat-syarikat bumiputera yang terlibat bergantung harap kepada kelangsungan projek jalur lebar ini untuk survival mereka. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya