Tekad jual roti canai 50 sen - Utusan Malaysia

Tekad jual roti canai 50 sen

MOHD. Fikhri Saad dibantu isterinya, Qurratu Aini Ashaari menjual roti canai dengan harga 50 sen di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kenaikan harga barang mentah seperti tepung dan minyak masak menyebabkan kebanyakan peniaga roti canai di negeri ini mengambil langkah menaikkan harga jualan antara RM1.20 hingga RM1.40 sekeping.

Namun, seorang peniaga di Jalan Hang Tuah di sini, Mohd. Fikhri Saad, 29, bertekad untuk tidak mementingkan keuntungan besar semata-mata, sebaliknya menjual menu kegemaran rakyat Malaysia itu dengan harga 50 sen sekeping.

Katanya, sejak kembali berniaga dua bulan lalu, dia mengambil keputusan menjual roti canai dengan harga rendah, meskipun mengakui terbeban dengan kos semasa.

“Saya tahu dengan menjual roti canai dengan harga itu tidak mungkin dapat keuntungan, malah rugi disebabkan kenaikan harga tepung, minyak masak, marjerin dan sebagainya.

“Tapi saya jual pada harga itu sebagai tarikan orang ramai ke kedai saya, Dapur Manja di Jalan Hang Tuah yang dibuka sejak Februari lalu.

“Ini sebagai menghargai pelanggan yang datang, walaupun jual roti canai saya rugi tetapi saya lebih kepada bersedekah kepada pelanggan yang datang ke kedai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Fikhri yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berusia antara satu hingga lima tahun menambah, harga 50 sen itu juga dianggap sebagai ‘pelaburan saham’ akhirat, terutama ketika Ramadan.

Jelasnya, dia tidak pernah berasa menyesal dengan keputusan dibuat, malah akan terus bertahan walaupun kos dijangka terus mengalami kenaikan.

“Saya kembali semula berniaga selepas terhimpit sejak dua tahun lalu ekoran penularan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan saya mengalami kerugian yang teruk.

“Ketika itu, saya hilang pendapatan apabila kedai tidak dapat dibuka. Hidup saya benar-benar terhimpit dan kini saya sudah dapat modal serta baru bertapak untuk memulakan perniagaan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya