Tanah lapangan terbang tidak dijual - Putra - Utusan Malaysia

Tanah lapangan terbang tidak dijual – Putra

HAMIDAH Osman dan Azrul Suhadi menunjukkan dokumen tanah pembinaan lapangan terbang di Perak Tengah yang masih milik PKNP dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar di Perak Tengah yang dikatakan sudah bertukar milik, sebenarnya tidak dijual.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tanah yang dikatakan telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri sebenarnya masih milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Beliau berkata, perkara itu ditemukan beliau melalui dokumen hasil carian persendirian di Pejabat Tanah Daerah Kinta hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Hamidah berkata, apa yang berlaku ialah memang wujud cubaan untuk menjual tanah itu, tetapi, ia tidak berlaku kerana tiada kelulusan kerajaan negeri disebabkan ia tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat exco.

Katanya, tanah yang dimaksudkan itu ialah seluas 1,224.869 ekar dan carian mendapati memang ada surat perjanjian untuk menjual tanah itu di antara sebuah syarikat, iaitu ECK Sdn. Bhd. dengan PNKP pada harga RM52,219,629 pada September 2018.

“Sementara menunggu pindah milik tanah itu disempurnakan, deposit lebih RM7 juta sebagai kaveat dibuat ke atas tanah itu.

“Walaupun surat perjanjian jual beli telah ditandatangani, tetapi, tanah itu hanya boleh dipindah milik atau dipajak hanya dengan kebenaran bertulis oleh pihak berkuasa negeri.

“Tetapi, perkara itu tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri dan tanah itu masih kekal milik PKNP sehingga hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Penyelaras Putra Perak, Azrul Suhadi.

Menurut Hamidah, berikutan itu, beliau tidak faham mengapa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual.

Kata Hamidah, berikutan tanah itu masih milik PKNP, maka tidak timbul soal lapangan terbang tidak dapat dibina atau sudah ada Kebenaran Merancang (KM) ke atas tanah itu atau pun tanah itu tak boleh diambil semula oleh kerajaan negeri.

“Jika hendak membatalkan perjanjian ini mudah saja. Bawa sahaja surat perjanjian jual beli itu ke mesyuarat exco dan tolak cadangan itu, maka, terbatallah perjanjian itu dan tanah itu akan balik menjadi hak kerajaan negeri,” katanya.

Kata Hamidah, apa yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh siasat ialah deposit RM7 juta dalam perjanjian itu sama ada masuk ke PKNP atau ke tempat lain.

“Itu saja bidang siasatan SPRM, jadi, tak payahlah SPRM buang masa, ini saja yang menjadi isu kerana melibatkan wang deposit sebanyak lebih RM7 juta,” katanya

Jelas Hamidah, dakwaan tanah lapangan terbang itu telah dijual hanya isu yang sengaja digembar gemburkan sehingga menjadikan rakyat gusar.

“Sedangkan perkara ini tidak berlaku, memang ada cubaan untuk menjualnya, tetapi, ia tidak berlaku kecuali diluluskan kerajaan negeri.

“Selagi kerajaan negeri tidak luluskan, maka, tanah itu kekal milik PKNP, semudah itu sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berkata, tanah untuk pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar telah dijual oleh individu tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Dalam reaksinya, Saarani mengesahkan tanah itu dijual semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

Berikutan itu beberapa exco semasa kerajaan PH membuat laporan polis dan SPRM.

SPRM mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dakwaan itu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya