Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilanjutkan - Utusan Malaysia

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilanjutkan

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) ketika mengunjungi sebuah stesen minyak bagi melihat operasinya sempena lawatan kerja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 dilanjutkan selama empat hari ekoran permintaan ramai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bermakna SHMMP HRP 2022 yang dilancarkan pada 26 April sepatutnya tamat pada 6 Mei ini akan dilanjutkan sehingga 10 Mei nanti. 

“Kita menerima maklum balas daripada masyarakat umum yang meminta supaya SHMMP HRP 2022 dipanjangkan lagi setelah tempoh diberikan agak pendek.

“Ini kerana ramai beranggapan SHMMP HRP 2022 yang tamat sehingga 6 Mei ini, iaitu selepas tiga Aidilfitri tidak mencukupi kerana mereka masih perlu membeli barangan kerana ramai masih bercuti untuk berhari raya. 

“Oleh yang demikian, kerajaan memutuskan menambah empat hari lagi tempoh SHMMP HRP 2022 yang bermula 26 April lalu kepada 10 Mei nanti, ” katanya ketika lawatan di Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam, di sini semalam.

Pada 21 April lalu, sebanyak 22 jenis barangan dilapor ditetapkan dijual pada harga maksimum melalui SHMMP HRP 2022.

Alexander berkata, ia membabitkan barangan bagi kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau serta sayuran.

Turut dikuatkuasakan dalam SHMMP HRP 2022 adalah enam barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam yang ditetapkan sebelum ini.

Senarai barangan dikawal membabitkan daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import (Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kilogram (kg) ) ikan selayang (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kg), ikan aya atau tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kg), ikan Demudok atau Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja).

Sayuran-sayuran pula membabitkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih (China), ubi Kentang Import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja), dan kelapa parut (runcit sahaja). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya