PETALING JAYA: Pihak kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik telah bersetuju untuk mengadakan satu lagi sidang khas Parlimen berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam masa terdekat.
Sidang khas kedua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bersama hari ini.
Keputusan itu dibuat setelah kedua-dua pihak difahamkan mengadakan pertemuan pada tengah hari tadi.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April 2022 akan diteruskan seperti yang dirancang untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) No.3) 2022.
“Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang in mendapat majoriti 2/3 dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April 2022.
“Antara perkara-perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April 2022,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Wan Junaidi memaklumkan bahawa pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguhkan buat kali kedua, selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu
Katanya, ini setelah Kabinet tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin minggu hadapan.
Namun, Wan Junaidi menjelaskan, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU tersebut dibentangkan pada masa hadapan. –UTUSAN ONLINE