RUU Anti Lompat Parti: PH gesa komitmen Perdana Menteri - Utusan Malaysia

RUU Anti Lompat Parti: PH gesa komitmen Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Pendirian gabungan pembangkang itu telah disampaikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ismail Sabri semalam.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Anwar (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Anthony Loke (DAP) dan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO).

Majlis Presiden PH turut menggesa agar Pindaan Perlembagaan pada 11 April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen mengenai prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam sidang khas kedua nanti.

“PH percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan,” katanya.

Mengulas lanjut, PH mengulangi pendirian bahawa meluluskan RUU Anti Lompat Parti merupakan antara syarat utama di dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

“Amatlah jelas bahawa PH tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

“Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.

“Justeru, PH akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini. Namun, syarat utama ialah draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya