Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Kuala Perlis meriah - Utusan Malaysia

Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Kuala Perlis meriah

Kakitangan Masjid Zahir memasak bubur lambuk untuk diedarkan bersama bubur lambuk percuma dalam program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia Sdn. Bhd dengan kerjasama EB Frozen Food di sini hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Suasana di dewan orang ramai, Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini kelmarin cukup meriah dan menjadi tumpuan orang ramai sempena program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran syarikat pengeluar beras, Era Foods MY (Beras Era) dan Media Mulia Sdn. Bhd..

Orang ramai khususnya penduduk setempat tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk udang lipan tersebut yang diagihkan bermula pukul 4.30 petang dan habis hanya dalam tempoh sejam membabitkan 1,000 bungkusan bubur berkenaan.

Orang ramai begitu teruja menerima bubur lambuk resepi asli penduduk Kuala Perlis itu yang menggunakan pelbagai ramuan makanan laut termasuklah bahan utamanya, udang lipan yang mudah diperoleh di perkampungan nelayan berkenaan.

Seorang suri rumah, Halimah Hussien, 62, yang tinggal di kampung berdekatan berkata, penduduk di sini menggemari bubur lambuk udang lipan kerana rasanya yang manis.

“Rumah saya di Kampung Baru Seberang dan tidak jauh dari sini. Saya memang selalu datang ambil bubur lambuk di masjid berdekatan dan apabila dapat tahu ada program mengedar bubur lambuk di dewan ini, saya tidak melepaskan peluang untuk datang.

“Bubur ini bukan sahaja enak kerana mempunyai makanan laut, malah ia juga dimasak dengan santan yang menjadikannya lebih berlemak,” katanya.

Sementara itu, Syamil Mohd Zahari, 27, dari Beseri, Padang Besar berkata, dia pertama kali mengetahui mengenai bubur lambuk udang lipan selepas singgah mengambil bubur ini.

“Saya sebenarnya kebetulan datang ke Kuala Perlis untuk ke rumah sepupu. Apabila saya melihat ada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk, saya pun tertarik untuk mencubanya ketika berbuka puasa. Jika dilihat kepada bubur ini, memang nampak sedap untuk dimakan semasa berbuka puasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketua tukang masak bubur lambuk udang lipan pada program tersebut, Abdul Aziz Salleh, 57, berkata, sebanyak 30 kilogram beras Era Nagasari Super Spesial Tempatan dengan tiga periuk besar digunakan untuk tujuan memasak bubur lambuk ini.

Dia yang sudah lebih 30 tahun memasuk bubur lambuk tersebut memberitahu, resepi yang digunakan adalah turun temurun dan sememangnya cukup sinonim di Kuala Perlis.

“Kali ini, kami masak guna beras Era Nagasari Super Spesial Tempatan sumbangan Beras Era. Hasilnya memang cantik dan bubur nampak kembang elok sahaja serta tidak hancur.

“Kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk memasak bubur tersebut yang menghasilkan kira-kira 1,000 bungkusan yang diedarkan kepada orang ramai,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya