ISTILAH poster boy seingat rakyat Malaysia baru muncul didendangkan dalam pilihan raya moden ini khususnya pada PRU14 tempoh hari.
Dek bukan kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi auranya untuk Pakatan Harapan (PH), pembangkang barangkali terus kempunan menjadi kerajaan 9 Mei 2018. Walaupun berkuasa sebentar 22 bulan cuma, tapi sudah cukup PH tercatat dalam sejarah politik negara.
Pastinya impian mutlak seorang ahli politik adalah jawatan Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri. Tetapi jawatan cloud nine ini bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat untuk jawatan PM dan TPM.
Waima dijanjikan poster boy untuk menduduki jawatan PM kemudian harinya, jangan sesekali dilupai nasib dan ketentuan masa adalah penting.
Datuk Ir. Hasni Mohammad diangkat poster boy Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor. Perfect. BN menang bergaya sehinggakan Johor yang dimomokkan kubu presiden Bersatu disapunya habis. Parti-parti Melayu yang baru muncul terkedu. Hilang deposit lagi. Sayang untuk Hasni menyambung tugas menteri besar tidak kesampaian. Yang ditempah tidak serupa barang yang sampai.
Suatu ketika Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz amat disohorkan untuk menjadi TPM sebelum 1976. Tetapi ‘baris tangannya’ atau tuah badan tidak melambangkan untuk jadi TPM. Tuah ada pada Dr. Mahathir. Dikhabarkan Dr. Mahathir terkejut apabila diberitahu semasa di Batu Pahat beliau dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Hussein Onn sebagai timbalannya. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula secara tiba-tiba menjadi PM ke-8, melalui pintu belakang Langkah Sheraton Februari 2020. Nampaknya beliau amat ‘bernasib baik’ berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berapa kali agaknya Dr. Mahathir semasa menjadi PM ke-4 lagi berjanji mahu serahkan jawatan PM kepada Anwar? Kalau sebelum dan ketika pasca PRU14, sudah 11 kali walaupun selepas Anwar bertunggu tangga keluar masuk pejabat Tun.
‘Tuah’ tetap mendatang jika seseorang itu jujur dan tekun bekerja serta amanah menjalankan tugas. Bagi insan seperti Dr. Mahathir, tuah atau luck itu sudah mendatang kepadanya, susulan tenaga dan kekuatan peribadinya. Orang Melayu menyebut tuah badan ini bulan jatuh ke riba.
Sebenarnya, sudah sekian lama sejak ‘Tingkat 4 pasca tahun 2000’ lagi kita merindukan kesempurnaan politik yang begini hari ini:
“Budi bahasa politik dalaman mesti dilandaskan kepada sistem yang bersih. Sistem yang berasas kepada budaya khidmat dahulu, habuan kemudiannya”.
Perihal fi’il orang politik jika merujuk kepada UMNO, akar umbinya tahu dan sedar siapa yang bekerja siang malam semasa kempen PRN Melaka dan Johor hingga memenangkan BN. Ketika ada segelintir pemimpin kanan UMNO konon hendak jaga ‘suasana’ dan ‘perasaan’ di Pusat, pesaing mereka dalam Kabinet tak ambil peduli pun. Dalam kempen pilihan raya, ‘belasah’ sahaja BN. Bila Melaka dan Johor menang besar, tiba-tiba nak ambil kredit pula. Hanya satu dua orang yang lebih bermaruah dalam kalangan ‘enggan pakai vest’ ini yang tahu malu enggan nampakkan muka di malam keputusan 20 November 2021 dan 12 Mac 2022.
Bak kata poster boy Hasni tempoh hari, pendirian perjuangan politiknya berpandukan kepada prinsip pemimpin anti-Apartheid dari Afrika Selatan: “Nelson Mandela once said, I never lose. I either win or I learn”.
Begitulah ketentuan dan takdir-Nya dalam politik. – UTUSAN