JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) hanya akan mengambil pendekatan bekerjasama dengan semua parti pembangkang dengan andaian pakatan itu tidak lagi mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRN15).
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan salah satu daripada enam ketetapan yang dipersetujui kepemimpinan PH dalam pertemuan di Port Dickson, tahun lalu.
“Reaksi setiap pimpinan berbeza (mengenai khemah besar), tetapi saya berpegang kepada ketetapan keputusan resolusi temu rapat dahulu, hendak kata apa sekalipun kita masih berpandu kepada apa yang disepakati dahulu.
“Jadi pendekatan itu adalah PH sedia bincang dengan semua pihak, semua pihak itu pula boleh jadi sesiapa sahaja.
“Kita daftar dahulu untuk sedia ambil pendekatan terbuka dan berbincang, itu adalah satu kenyataan yang ‘open ended’, dan itu adalah ayat asal dalam resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Paragon, di sini semalam.
Tambah Saifuddin, pendekatan berunding dengan semua parti itu perlu dibuat dengan andaian kekuatan PH tidak lagi memungkinkan mereka untuk mengalahkan parti pemerintah (BN).
Sementara itu, apabila disoal tentang keyakinan beliau berhubung kekuatan PH menjelang PRU15, beliau memberitahu, perkara itu sesuatu yang berbentuk dinamik.
“Itu dinamik, buat masa sekarang kita fokus untuk mengukuhkan PH, tetapi pada masa sama kita juga baca isyarat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
“Usaha pengukuhan ini boleh dibuat melalui beberapa kaedah antaranya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih kerap, membaiki kelemahan satu sama lain dan menggerakan jentera pilihan raya bersama-sama,” ujarnya. – UTUSAN