JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalahgunakan untuk meraih populariti dalam media sosial.
Raja Zarith bertitah demikian merujuk kepada pemilik akaun bernama ‘Shafeqyahya’ di TikTok yang menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene, di sini.
Titah Raja Zarith, Baginda tidak mengenali individu pemilik akaun tersebut.
“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.
“Saya tidak mengenali siapa ‘Shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti dalam media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga DiRaja Johor,” titah Baginda seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO) hari ini.
Titah Permaisuri Johor lagi, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.
Sementara itu, semakan di aplikasi TikTok mendapati akaun yang memiliki 9,974 pengikut itu sudah ditukarkan ke mod persendirian setelah isu berkenan timbul selain gambar profil akaun tersebut juga sudah tidak kelihatan. –UTUSAN ONLINE