PETALING JAYA : Langkah penstrukturan semula empat lebuh raya Lembah Klang merupakan kesinambungan usaha dimulakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Oktober 2019 apabila mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu memutuskan secara dasar memulakan proses mengambil alih.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, semua diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam adalah dasar PH diteruskan hingga ke penghujungnya.
Soal itu membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan.
“Sebagai contoh, kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus pada 2020.
“Malah PH telah merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu mengulas keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol Lebuhraya KESAS, SMART, SPRINT dan LDP dengan kadar sedia ada kekal hingga tamat tempoh konsesi.
Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya terbabit.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya itu dan serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hak milik Amanah Lebuh Raya (ALR) terutama daripada sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaannya. –UTUSAN ONLINE