Peningkatan kos ibadah haji untuk kemudahan jemaah

Peningkatan kos ibadah haji untuk kemudahan jemaah

TH mengenakan kos kepada bakal jemaah tahun ini secara bersasar sebanyak 12 peratus iaitu antara RM1,000 dan RM3,000 seorang tertakluk kategori pendapatan jemaah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan 12 peratus kos ibadah haji merupakan fenomena biasa yang berlaku di seluruh dunia, malah saban tahun, ia dijangka meningkat pada kadar lebih tinggi demi memberikan perkhidmatan lebih baik untuk para jemaah.

Mana-mana bakal jemaah yang mungkin tidak bersetuju dengan kenaikan kos itu perlu berlapang dada dan bersedia dengan sebarang kemungkinan, kerana setiap perkhidmatan yang ditawarkan hadir dengan kos-kos yang perlu ditanggung sepanjang berada di tanah suci itu nanti.

HARUN KC AHMU

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmu berkata, bakal jemaah tidak perlu ‘memaksa diri’ menunaikan ibadah haji ketika kos semakin meningkat, kerana Islam hanya mensyaratkannya untuk mereka yang istitha’ah atau berkemampuan.

Justeru, beliau percaya, peningkatan kos berkenaan sudah dipertimbangkan mengikut kesesuaian keadaan sekali gus membolehkan Kerajaan Arab Saudi sentiasa menaik taraf semua perkhidmatan termasuk tempat tinggal untuk keselesaan bakal jemaah.

“Saya berpendapat ini bukanlah isu besar dan sepatutnya diterima baik oleh seluruh umat Islam terutama jemaah dari Malaysia kerana saya pasti, dengan kos yang dibayar ini kita akan dapat menikmati setiap kemudahan yang disediakan oleh pihak di sana.

“Jika masih belum mampu, usah paksa diri. Ia bukanlah wajib dan yang terbaik untuk pergi haji ialah menggunakan wang yang susah payah dikumpulkan sendiri sepenuhnya sehingga mencapai kos ditetapkan pihak sana, jadi tidak akan timbul isu tidak puas hati akibat kos naik.

“Apa sahaja kos di dunia ini akan meningkat termasuklah haji, jadi saya nasihatkan sesiapa yang sudah menerima tawaran daripada Tabung Haji untuk mengerjakannya tahun ini, rebutlah peluang selagi masih ada.

“Pada masa sama, saya berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas tindakan proaktif mereka membuat persediaan untuk membolehkan umat Islam dari seluruh pelosok dunia mengunjungi tanah suci ini walaupun dalam bilangan jemaah yang kurang daripada biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad mengumumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1444 Hijrah) ditetapkan kepada 14,306 jemaah selepas menangguhkan penghantaran jemaah haji negara sejak 2020.

Beliau berkata, jumlah kuota diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah 45 peratus daripada kuota rasmi tahunan yang biasa diperoleh negara iaitu 31,600 jemaah pada 2019.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam sidang akhbar pula mengumumkan bayaran haji muassasah di bawah Lembaga Tabung Haji dinaikkan RM1,000 kepada RM10,980 bagi kategori B40 manakala kategori bukan B40 dkenakan bayaran sebanyak RM12,980, peningkatan RM3,000.

Katanya, peningkatan antara 10 hingga 12 peratus berbanding bayaran bagi tahun 2019 dan dua kategori jemaah merupakan antara langkah yang diambil Tabung Haji menerusi pelaksanaan subsidi kewangan secara bersasar buat kali pertama tahun ini.

Amrin berkata, kenaikan kos haji tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan Covid-19 yang dikenakan oleh Arab Saudi.

MD. DAUD CHE NGAH

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah pula berkata, bakal jemaah yang sudah menjangka kos akan meningkat disarankan untuk tidak menangguhkan ibadah tersebut pada tahun berikutnya kerana dibimbangi kos akan terus bertambah seiring usia.

Menurutnya, seperti di Malaysia, keadaan ekonomi tidak menentu di Arab Saudi menjadi faktor kos haji turut meningkat memandangkan banyak syarikat perhotelan terutama bertaraf tiga bintang terpaksa ditutup akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.

Md. Daud yang kini berada di Mekah atas urusan rasmi berkata, melalui pemerhatiannya, banyak hotel di negara telah ditutup dan beroperasi kembali namun terpaksa meminta kebenaran daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk mengubah suai semula hotel mereka supaya mencapai standard yang sesuai digunakan para jemaah.

“Saya yakin, disebabkan inilah pihak berkenaan mahu menaikkan kembali taraf hidup rakyat dengan terpaksa mencari wang lebih banyak, segala bentuk perbelanjaan dikenakan secara berganda tetapi selaras dengan perkhidmatan diberikan.

“Mahu tidak mahu, terpaksalah naikan harga tersebut, Agensi haji dan umrah juga terjejas teruk dan mereka terpaksa menaikkan kadar harga perniagaan sehinggalah mereka mendapatkan kembali keuntungan yang selama ini menyusut banyak akibat penutupan sempadan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya