ALOR SETAR: Walaupun harga telur sepapan ketika ini melonjak RM3 hingga RM4 bagi semua gred namun peniaga bahulu di Kompleks Pekan Rabu di sini tidak tergamak untuk menaikkan harga kuih tradisional kegemaran ramai itu.
Sebaliknya, pengusaha bahulu, Fatimah Harun, 54, berkata, bagi mengelakkan kerugian dia mengurangkan kuantiti bagi setiap bekas kuih tersebut dengan harga lama iaitu RM10 setiap bekas.
“Sebekas masih RM10 cuma saya kurangkan kuantiti, dahulu 50 biji sekarang 45 biji. Tak sanggup nak naikkan harga walaupun tempat lain banyak yang sudah jual sebekas RM12 atau RM13
“Biarlah dulu, kasihan pelanggan kalau naik mendadak, kami cari cara lain nak tampung kos kenaikan harga bahan mentah termasuk kenaikan telur ayam ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pemilik Emanis Baulu Panas tersebut, bagaimanapun tidak menafikan kenaikan harga telur membebankan kerana telur adalah bahan utama bagi kuih tradisional tersebut.
“Kami gunakan telur gred A kerana itu paling baik untuk jadikan bahulu sedap. Harga sepapan sekarang RM15 hingga RM16 dahulu cuma RM11 atau RM12. Harga naik sejak beberapa bulan lepas apabila bekalan terputus.
“Sekarang bekalan sudah pulih namun harga tidak turun pun. Itu belum termasuk harga barang lain juga naik seperti bekas plastik yang naik RM20. Semua naik tetapi tak apalah sekarang masih mampu walaupun untung kecil iaitu cuma 10 peratus,” ujarnya.
Fatimah memberitahu, setiap hari kedainya memerlukan antara 100 hingga 200 papan telur gred A mengikut tempahan dan jualan di kedainya dekat kompleks itu.
Katanya, bagi memenuhi tempahan hari raya, mereka menggunakan sehingga 2,000 biji telur untuk menghasilkan 25,000 biji bahulu setiap hari.
“Namun tahun ini mungkin bertambah maklumlah selepas lama tak balik kampung beraya tahun ini banyak perantau akan pulang,” katanya. –UTUSAN ONLINE