Penduduk Rancangan Sosial PKPP terima duit raya RM620,200 - Utusan Malaysia

Penduduk Rancangan Sosial PKPP terima duit raya RM620,200

WAN ROSDY Wan ismail (kiri) bertanyakan khabar dan menyampaikan duit raya bernilai RM700 kepada seorang penduduk, Aziah Hassan (berkerusi roda) di Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Berita gembira buat seramai 886 peserta tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) apabila kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM620,200 bagi sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap peserta rancangan sosial PKPP bagi meringankan beban perbelanjaan mereka untuk menyambut hari raya. 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM290,508 akan diagihkan kepada seramai 415 orang peserta rancangan sosial PKPP di Lipis melibatkan tiga rancangan iaitu, Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, RPSK Kampung Jerkoh dan RPSK Kampung Peruang.

“Duit raya yang bernilai RM700 masing-masing akan diberikan kepada peserta di rancangan sosial di setiap daerah yang akan diselenggarakan oleh PKPP sebelum Hari Raya Aidilfitri termasuk pada majlis hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang di sini hari ini.

Dalam pada itu, sempena keberkatan bulan Ramadan ini, kerajaan negeri di bawah anak syarikatnya iaitu PKPP bersetuju melupuskan hutang tanam semula kelapa sawit bernilai RM11.12 juta sebanyak 80 peratus di enam buah kawasan tanah rancangan sosial melibatkan seramai 194 orang peserta.

Wan Rosdy berkata, berita gembira itu melibatkan kawasan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan Ladang Kecil milik peserta yang diuruskan oleh PKPP sejak tahun 1971 iaitu RTP Sungai Ular (Lipis), RTP Klau (Raub), RTP Sepayang (Rompin), RTP Gemuruh (Pekan), RTP Kampung Awah (Temerloh) dan Ladang Kecil Sungai Charu (Kuantan).

“Purata pelupusan hutang mengikut individu berasaskan jumlah minimum sebanyak RM8,000 hingga jumlah maksimum RM131,000, berkuatkuasa 1 Jun 2022 ini manakala peserta yang telah menjelaskan bayaran penuh bermula 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2021, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pulangan rebat bayaran tersebut sebanyak 20 peratus.

“Kerajaan negeri melalui PKPP amat prihatin terhadap tanggungjawab sosial kepada peserta rancangan sosial di negeri ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur selain menikmati peluang ekonomi dan usahawan bidang pertanian,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai  berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melaksanakan Projek Penggantian Paip Air di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Kampung Kuala Medang.  

“Peruntukan projek ini yang bernilai RM6 juta dibuat menerusi bantuan KPLB untuk membina paip air baharu dan pembinaan tangki baharu berkapasiti 250,000 gelen yang telahpun siap sepenuhnya dengan memberikan manfaat kira-kira 1,000 orang penduduk sekitar Kuala Medang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi PKPP berkata, usaha bersungguh pengurusan anak syarikat kerajaan negeri itu menerusi sektor perladangan sawit dan pertanian lain membuahkan pulangan keuntungan yang mampu diagihkan kepada peserta rancangan sosial menerusi inisiatif duit raya termasuk bantuan kebajikan lain.

“Wang ini kita gunakan untuk melestarikan pelbagai inisiatif di bawah Bantuan Prihatin Pahang yang bernilai RM29.9 juta melibatkan empat kluster penerima (rakyat) tahun ini dan hari ini insiatif yang sama daripada agensi PKPP kepada peserta berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN