SUNGAI PETANI: Seramai 1,600 peserta program empowerNCER yang menamatkan Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (LKU) pada tahun lalu berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan selain menunjukkan peningkatan ekonomi peserta terlibat.
Mereka juga berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) pendapatan mencecah 76 peratus.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kemerosotan perniagaan akibat pandemik Covid-19, namun, ia tidak menghalang peserta terlibat untuk kekal bersaing di pasaran.
“NCIA telah berjaya mengeluarkan peserta daripada kepompong kemiskinan hingga membolehkan mereka bergelar usahawan dalam pelbagai bidang.
“Ini dibuktikan apabila sebanyak 98 peratus daripada peserta program empowerNCER berjaya meningkat pendapatan manakala 153 peserta lagi beralih kepada kategori pendapatan M40 dan T20,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama empowerNCER ‘Bersamamu Rayaku Ceria’ di Dewan Serbaguna Bandar Laguna Merbok di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 250 peserta program empowerNCER meraikan 37 anak yatim, anak Orang Asli dan penerima bantuan Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Daerah Yan, Baling dan Sik.
Sementara itu, Ketua Ahli Jawatankuasa empowerNCER Kedah, Mohamad Jamil Kariya, 36, memberitahu, sebelum ini, kebanyakan peserta menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan tidak mempunyai wawasan besar untuk memajukan diri menjana pendapatan tinggi.
Bagaimanapun, katanya, peserta berjaya memajukan perniagaan menerusi modul latihan di bawah LKU.
“Alhamdulillah, hasil daripada bimbingan tersebut, para peserta berjaya mengubah kehidupan mereka dengan pendapatan yang lebih tinggi menerusi perniagaan yang diusahakan,” ujarnya.
Seorang peserta program empowerNCER, Shamsinar Abd. Manab, 35, dari Pendang berkata, dia melibatkan diri dalam perniagaan salon selepas mengikuti latihan dandanan rambut.
Menurutnya, dalam latihan tersebut, dia memperoleh banyak ilmu dalam perniagaan untuk meningkatkan pendapatan sehingga mencecah sebanyak empat angka sebulan.
“Saya sebelum ini kurang berkeyakinan, tetapi, selepas mengikuti latihan tersebut, saya bertambah semangat untuk menjalankan perniagaan salon,” katanya. –UTUSAN ONLINE