KOTA BHARU: Gelagat pemuda berbaju Melayu dan kopiah melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal mengundang padah apabila dia ditahan polis di Jalan Pangkal Kala, Pasir Mas semalam.
Pemuda berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang selepas dia dipercayai baru selesai menghantar juadah berbuka yang dipesan pelanggan dari kedai makan diusahakan ibunya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, polis melihat dia melakukan aksi bahaya itu ketika Op Samseng Jalanan bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebutir pil kuda yang disorok dalam kotak rokok yang ada bersama suspek dan turut merampas motosikal Honda C70 yang ditunggang suspek untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, Shuhaimi memberitahu, sebanyak 35 motosikal diperiksa dan 29 saman terhadap pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam operasi tersebut. – UTUSAN