JOHOR BAHRU: Polis Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sejumlah mercun bernilai lebih RM500,000 dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan di Kempas, di sini dan di Sungai Abong, Muar, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, kejayaan itu turut melibatkan tangkapan terhadap empat suspek termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia.
Katanya, dua lelaki tempatan berusia 37 dan 41 tahun ditahan dalam serbuan di Kempas, manakala dua lagi lelaki berusia 27 dan 29 tahun pula diberkas di Muar.
“Rampasan di Kempas melibatkan pelbagai jenis mercun bernilai sekitar RM31,000 yang dijalankan di Jalan Bukit Kempas 1/6, Taman Bukit Kempas, pada pukul 6 petang manakala rampasan di Jalan Indah 18/6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar pada pukul 11 pagi dianggarkan bernilai RM500,000 juga melibatkan pelbagai jenis mercun.
“Antara yang dirampas termasuklah mercun happy boom; mercun thunder clap; mercun bola; crazy robot; happy boom tikus; mercun pop pop dan pelbagai lagi,” katanya di sini hari ini.
Tambah Dimin, pihaknya turut merampas dua buah lori, masing-masing sebuah di Kempas dan sebuah lagi di Muar.
“Kejayaan tangkapan dan rampasan mercun ini berjaya memutuskan pembekalan mercun di sekitar Kempas dan Muar khususnya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Kedua-dua kes ini akan disiasat dibawah Akta Bahan Letupan 1957,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dimin turut menyeru kerjasama awam untuk menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungkan Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di talian 07-7557280,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










