‘Masyarakat Cina, India pun suka bubur lambuk Bukit Piatu’ - Utusan Malaysia

‘Masyarakat Cina, India pun suka bubur lambuk Bukit Piatu’

BAHAROM Sulaiman (kiri) sedang mengacau bubur lambuk sambil dibantu para sukarelawan lain untuk diagihkan kepada orang ramai di Kampung Bukit Piatu, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keenakan bubur lambuk Kampung Bukit Piatu di sini bukan sahaja mampu menarik pengunjung dari jauh, malah bangsa lain termasuk India dan Cina turut singgah bagi mendapatkan juadah istimewa tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Bubur Lambuk Kampung Bukit Piatu, Baharom Sulaiman berkata, tradisi berkenaan telah dilaksanakan sejak 25 tahun lalu dengan bantuan beberapa sukarelawan setempat.

Menurutnya, juadah yang sangat sinonim di bulan Ramadan itu dihasilkan berdasarkan resipi bubur lambuk Kampung Baru yang terkenal di Kuala Lumpur.

“Rasanya tetap sama. Tukang masak silih berganti kerana ada yang sudah meninggal dunia, tetapi setiap perincian resipi akan diturunkan kepada tukang masak seterusnya.

“Bubur lambuk akan diedarkan selepas Zohor secara pandu lalu bagi mengelakkan orang ramai berbaris panjang. Siapa yang datang kami akan beri secara percuma. Kami biasanya masak dalam tiga periuk besar dan tambahan dua periuk lagi jika ada tempahan daripada pelanggan pada hari tersebut.

“Kami menyediakan sebanyak 500 hingga 600 bungkus bubur lambuk sehari dan agihan selesai dalam tempoh 30 minit hingga sejam. Pengunjung yang datang pula terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Cina dan India serta pelancong luar contohnya dari Johor,” katanya ketika ditemui.

Tambah Baharom, kos untuk menyediakan satu periuk memerlukan kos sebanyak RM500.

Katanya, pihaknya menggunakan sumbangan orang ramai untuk menyediakan bubur lambuk setiap hari bermula satu hingga 27 Ramadan.

“Kami memang tiada penaja tetap. Semuanya bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Kalau tidak cukup, kami akan cari dana dahulu dengan bertanya kepada rakan-rakan yang mahu serta. Semua yang turut serta dalam penghasilan bubur lambuk ini adalah secara sukarela,” ujarnya.

Sementara itu, tukang masak, Md. Saad Baba, 64, berkata, dia yang sudah tiga tahun memasak bubur lambuk tidak mempunyai sebarang ramuan rahsia, sebaliknya menyediakan berdasarkan apa yang telah diturunkan kepadanya.

Jelasnya, yang membezakan rasa setiap resipi adalah penggunaan rempah.

“Saya tidak ada teknik masakan tertentu, ikut sahaja sukatan resipi. Kalau nak sedap tambah banyak daging dan tulang gearbox,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya