Lembu ‘perangkap maut’ pintu masuk Kelantan - Utusan Malaysia

Lembu ‘perangkap maut’ pintu masuk Kelantan

PENGGUNA jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai terdedah dengan ‘nahas lembu’ ekoran haiwan itu dilepas bebas berkeliaran oleh penternak. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kehadiran kawanan lembu berkeliaran bebas di laluan utama di jajahan ini dan Pasir Puteh yang merupakan pintu masuk ke Kelantan dikhuatiri menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya pada musim perayaan kali ini.

Difahamkan, kumpulan haiwan tersebut dibiar bebas oleh pemiliknya tidak kira siang atau malam dan kerap melintas jalan secara tiba-tiba sehingga berpotensi mengakibatkan nahas yang mengancam nyawa orang ramai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo memberitahu Utusan Malaysia, dua tahun kebelakangan ini, sebanyak 156 kes ‘nahas lembu’ direkodkan, sekali gus menjadikan haiwan itu sebagai antara penyebab utama kemalangan jalan raya di jajahan ini.

Secara purata, kata beliau, sebanyak dua hingga 15 nahas membabitkan pelbagai jenis kenderaan terlanggar lembu yang dibiar bebas merayau dicatatkan dalam sebulan.

“Pada 2020, kita mencatatkan 75 kes ‘nahas lembu’ dan pada 2021, jumlahnya meningkat kepada 81 kes. Sementara itu, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sudah ada 31 kes direkodkan.

“Nahas lembu kerap berlaku di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Chiku dan Paloh, Jalan Gua Musang-Jeli, Jalan Gua Musang-Kuala Berang serta sekitar Felda Aring, Felda Perasu, Kampung Chalil, Lebir, Limau Kasturi dan Panggong Lalat,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, di Pasir Puteh, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah meningkatkan operasi menangkap lembu sekerap mungkin menjelang Aidilfitri bagi memastikan pintu masuk Kelantan melalui jajahan itu bebas ‘nahas lembu’.

Setiausaha MDPP, Noor Azman Md. Nawi berkata, notis amaran sudah dikeluarkan kepada para penternak mengenai tindakan tegas yang akan diambil di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau MDPP 1983 dan Pindaan 2009.

Katanya, caj tebusan tidak melebihi RM500 akan dikenakan bagi seekor lembu yang dirampas selain bayaran tambahan kos pemeliharaan sementara tidak melebihi RM100 seekor setiap hari, sekiranya pemilik lewat membuat tebusan.

“Antara lokasi yang dikenal pasti terdapat banyak lembu yang sering mengganggu lalu lintas ialah di sekitar Semerak, Cherang Ruku, Bukit Merbau, Jalan Jeram Pasu dan Kampung Nara. Notis turut dihantar kepada Imam mukim terlibat supaya diuar-uarkan kepada penternak.

“Di Pasir Puteh, pintu masuk utama ke Kelantan ialah Jalan Bukit Yong – Jertih dan Jalan Kuala Besut – Semerak yang kita jangka sesak dengan kenderaan perantau bermula 30 April ini,” katanya.

Menurut Noor Azman, pada 2020, sebanyak 25 ekor haiwan rayau berjaya ditangkap dengan nilai tebusan dan lelongan RM4,900 manakala pada tahun lalu, 13 ekor haiwan itu telah ditangkap dengan nilai tebusan dan lelongan RM5,760.

“Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lima operasi sudah dijalankan, namun hanya tiga ekor berjaya ditangkap MDPP dengan nilai tebusan RM1,550 dan hasil lelongan RM1,300,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya