SHAH ALAM: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang rosak di laluan kecemasan di Kilometer 25.2 Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di sini, petang tadi.
Kejadian pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 5.41 petang.
Katanya, ketika kejadian mangsa yang menunggang Honda Dash bersendirian menghala ke arah Klang.
“Setibanya di lokasi berdekatan Bukit Kemuning itu, lelaki berkenaan melanggar belakang lori tanah yang mengalami kerosakan.
“Kemalangan di laluan kecemasan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, operasi itu disertai sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN